Keadaan kelam kabut dalam sebuah
rumah di pinggir kota. Kelihatan
seorang ibu tua menitiskan air mata.
Juga kelihatan seorang lelaki, berdiri
menghela nafas, menahan sebak.
Seorang gadis sedang memeluk erat
tubuh seseorang sambil menangis
teresak-esak. Di satu sudut, seorang
anak muda tewas menahan perasaan
hiba.
“Mak, abang balik, mak! Abang
dengan Alif balik tu! Lepaskan Sya,
mak. Sya nak dukung anak Sya.
Lepaslah, mak!”
Suara yang mendayu-dayu meruntun
jiwa sesiapa sahaja yang mendengar.
Begitu mendayu permintaan yang
keluar dari bibir yang mungil satu
ketika dulu. Sepasang mata yang
sedang memandang ke arah halaman
rumah tidak lagi bersinar seceria dulu.
Wajah yang pada satu ketika amat
jelita, sudah hilang serinya. Segala-
gala sudah sirna daripada diri
seorang Syarifah Raihana.
“Sya, anak mak. Dengarlah cakap mak
ni, sayang. Suami Sya, Syed Izham
dah tak ada. Anak Sya, Syed Alif
Munzir juga dah tak ada. Diorang dah
meninggal, nak. Dah dijemput Allah!”
Syarifah Raihana termangu seketika
sebelum tubuhnya terjelepuk di ruang
tamu itu. Sekelipan, kenangan itu
menerjah fikiran…..
“Abang, Sya keluar sekejap saja, tau.
Tapi tolong tengok-tengokkan bubur
lambuk atas dapur tu, ya! Abang yang
teringin sangat nak makan.. Nanti
hangit pulak! Sya nak pergi beli buah
kurma kat kedai Pak Seman. 10 minit
saja, okey! Jangan tidur!”
“Iyalah, sayang! Baiklah, permaisuri.
Intan payung! Hamba yang menurut
perintah!”
Terdengar-dengar usikan suaminya.
“Abang ni, orang serius laaa…”
Terbayang senyuman manis yang
terukir. “Sori, baby! Okey, take care.
Jaga diri baik-baik. Remember, I love
you! Always!”
Air mata semakin deras mengalir.
Masakan tidak, itulah pengucapan
terakhir yang didengar. Tiada lagi
selepas itu, untuk selamanya kerana
malang tidak berbau.
Sepeninggalan Syarifah Raihana, Syed
Izham yang berada di luar rumah
tidak menyedari bahawa Alif Munzir
sudah terjaga daripada tidur. Anak
comel berusia 2 tahun itu terus
meluru ke dapur dan terjadilah
peristiwa yang tidak terduga. Tidak
disangka-sangka. Api gas dimain-
main sehingga terjadi letupan dengan
api yang marak serta merta di dapur.
Saat Syed Izham melihat semuanya,
anaknya sedang menggelupur
kesakitan akibat melecur. Ketika cuba
menyelamatkan anaknya dan
memadamkan api yang membakar
pakaian dan tubuh si kecil, sekali lagi
letupan terjadi. Tragedi menyayat itu
menemukan mayat dua beranak
dalam keadaan rentung di dapur,
berpelukan, ketika umat Islam
menyambut hari pertama Ramadhan,
setahun yang lalu…..
………….
“Kamu tak kesian tengok dia, Aiman?
Dah setahun keadaan bekas adik ipar
kamu tu macam tu. Asyik meracau
teringatkan arwah.” Suara Syarifah
Azizah memecah hening senja.
“Kesian! Siapa yang tak kesian!
Perempuan tu hilang suami. Hilang
anak! Tapi, dia kena kuatlah, mummy!
Bukan dia sorang saja yang
kehilangan Izham. Kita pun! Apa, dia
ingat kita semua ni tak sedih?”
“Kamu ni cakap lepas aje! Cuba
perlahankan sikit suara tu!”
“Alah, dia bukan ada di sini pun!”
Mencerlung wajah Syarifah Azizah
merenung seraut wajah tampan di
hadapannya. Wajah anak sulungnya
yang bernama Syed Aiman. Syed
Aiman tua tiga tahun daripada Syed
Izham. Sewaktu kejadian, dia menetap
di luar negara namun sejak hari
pertama dia kembali ke tanah air,
Syed Aiman terpaksa melepaskan
semua yang dia ada di sana kerana
keadaan tidak memungkinkan dia
kembali.
“Daddy rasa, dah sampai masa untuk
kamu buat satu lagi pengorbanan,
Aiman,” celah Syed Iqbal, si ayah yang
diam sedari mula tadi.
Bulat mata Aiman. Tambah
membuntang sepasang biji mata bila
dilihat ibunya terangguk-angguk.
“Oh no! Jangan nak suruh saya
kahwin dengan perempuan tak
siuman tu! Daddy, mummy!
Jangan….”
“Syarifah Raihana tak gila, Aiman!
Jangan sesekali kamu cakap begitu
lagi! Dia cuma tak sihat dan terlupa.
Tapi dia tidak gila! Ingat tu!” tukas
ibunya membuat Aiman terdiam.
Kesempatan itu digunakan Syarifah
Azizah untuk menyambung, “Dia
perlukan seorang yang kuat di sisinya.
Dan, mummy yakin, dia perlukan
kamu. Sikap tegas kamu tentu dapat
menolong menyembuhkan luka
dalam hati dia. Dapat mengurangkan
rasa rindu dia pada Izham. Aiman,
mummy dah kehilangan sorang anak,
mummy tak mahu kehilangan
menantu pulak! Sya tu dah jadi anak
perempuan mummy. Mummy sayang
sangat pada dia. Mummy tak mahu
nanti ada orang lain yang meminang
dia. Mummy tak sanggup, Aiman!”
Aiman mengeluh. Wajah ibu dan ayah
dipandang silih berganti. “Berapa
banyak pengorbanan yang perlu saya
buat untuk mummy dengan daddy
lagi? Saya dah lepaskan semua milik
saya di Australia sebaik Izham mati.
Sekarang, saya dipaksa pulak kahwin
dengan perempuan yang mummy
dengan daddy tahu memang saya tak
suka sejak dulu. Bukannya mummy
tak tahu yang saya memang
menyampah dengan perempuan tu.
Dari sejak dia bercinta dengan Izham,
sikap dia yang suka mengarah itu ini
memang saya meluat. Yang Izham tu
pulak macam lembu kena cucuk
hidung, ikut aje apa dia cakap. Saya
tak boleh terima perempuan macam
tu, mummy, daddy! Betul-betul tak
boleh!”
Syarifah Azizah bangun bersama
tangisan yang menggila. Dia ingin
masuk ke dalam bilik. Hatinya sakit
mendengar kata-kata Aiman. Dari
dulu, Aiman sering buruk sangka
dengan Syarifah Raihana.
“Tak apalah, kalau macam tu! Nampak
benar kamu tak bahagia sebab kami
berdua ni asyik memaksa kamu buat
itu ini. Kami paksa kamu balik ke
Malaysia. Kami paksa kamu menetap
semula di tanah air sendiri. Kami
paksa kamu kahwin dengan bekas
adik ipar yang kamu benci. Okeylah!
Kalau macam tu, mummy tak ada apa
nak cakap lagi dah. Kalau sungguh
kamu tak rela dengan apa yang
mummy dengan daddy buat selama
ni, kemaskan barang-barang kamu,
Aiman. Pergilah balik ke Australia
sana. Tak usah langsung balik ke sini
lagi!”
Syed Aiman meraup wajah yang kelat
setelah diherdik sebegitu rupa oleh
ibunya. Rasa bersalah mula
menguasai akal fikiran. Hati mula rasa
terbeban. Sikap panas baran dan
cakap lepas kini memakan diri. Ibu
dan ayah sudah berkecil hati.
“Kita ni dua beradik aje, bang. Yang
kau nak duduk jauh-jauh dari
mummy dengan daddy tu, kenapa?
Tak apa, tak payah jawab. Biar aku aje
yang beritahu. Abang aku ni, Syed
Aiman hendak hidup bebas, betul tak?
Di sana, siapa boleh menegah apa
yang kau nak buat, kan? Kau nak
minum, nak disko, nak….. entahlah,
bang! Semakin kita dewasa, aku rasa
kita semakin jauh. Kau yang sengaja
jauhkan diri kau dari kami. Tapi itu
aku tak kisahlah sangat. Yang aku
sedih sebab kau ni dah jauh
terpesong. Bang, aku nak bagitau kau
satu perkara. Aku harap kau ingat
walaupun masa tu, aku dah mati.
Ingat bahawa bila kau jauh dari Dia,
bila kau lupa pada Dia, bila kau tak
pedulikan Dia, Dia pun jauh dari kau.
Tapi, sebaik pintu taubat untuk kau
terbuka, Dia paling dekat dengan kau,
bang. Sebab Allah itu wujud. Wujud
ertinya ada. Dia ada dan sentiasa
memerhati setiap apa yang kau buat,
bang. Dia ada dan Dia tahu apa yang
ada dalam hati kau. Percayalah cakap
aku, bang. Pergilah jauh dariNYA, kau
tak akan temui kebahagiaan,
ketenangan yang kau cari tu.
Selamanya tidak!”
…………………………
Syarifah Raihana memerhati sosok
lelaki yang sedang termenung di
balkoni. Melihatnya, tidak jemu mata
memandang kerana tubuh itu setegap
tubuh arwah suaminya. Hiba rasa hati
bila mengenangi bahawa kini dia
sudah menduakan Izham namun
kehendak semua orang tidak mampu
dibantah. Terutama bila ibu dan ayah
mentua yang beria-ia ingin
menyatukan mereka berdua.
Sejak mula berkawan dengan Izham,
Raihana tahu bahawa lelaki yang
sedang dipandang ini tidak pernah
menyukai dirinya. Di antara mereka
tidak pernah mesra malah dia kelu
untuk bersuara bila mereka bersama,
duduk semeja.
“Abang Aiman boleh menolak, tapi
kenapa tak buat begitu?” Raihana
memecah kesunyian di antara mereka.
“Sebab mummy dengan daddy lebih
sayangkan kau daripada aku. Kau
pulak, kenapa ikut saja? Tak boleh
bantah ke?” sindir Aiman tajam.
“Saya tak sampai hati…”
“Huh, perempuan gila pun ada
perasaan, eh? Nak tunjuk baiklah tu!”
“Kalau abang Aiman di tempat saya,
abang pun mungkin jadi gila jugak!”
“Banyaklah, kau!” juih bibir Aiman
menunjukkan betapa membara rasa
benci terhadap Raihana.
“Abang Izham lelaki paling baik
pernah saya jumpa, abang Aiman. Dia
tak pernah marah. Dia tak pernah
tinggikan suara jauh sekali hendak
memukul saya. Kata-katanya penuh
hemah. Kasih sayang untuk saya
terlalu banyak. Bila dia pergi, saya
terbeban dengan rasa bersalah.
Kerana kelalaian saya…. saya dah
bunuh mereka. Suami yang saya cinta,
satu-satunya zuriat kami yang kami
ada, pergi, sebab saya cuai. Abang
Aiman ingat, mudahkah hendak
memaafkan diri saya? Betul cakap
abang Aiman tu. Saya ni gila. Dan,
sekarang, saya buat satu lagi
kesilapan. Kegilaan saya ni
memerangkap abang Aiman dalam
perkahwinan yang abang Aiman tak
relakan ini. Maafkan saya, abang
Aiman.”
“Maaf, konon? Dahlah, malas aku nak
layan kau! Nanti aku pun jadi gila
macam kau jugak!” tengking Aiman
sambil membaling sebiji bantal
kepada Raihana. “Jangan sekali-kali
naik atas katil ni, faham! Tengok kau
pun aku menyampah, apa lagi nak
sentuh. Aku benci kau, ingat tu!”
Raihana termangu seketika tapi bibir
kemudian menguntum senyum lega.
Sekurang-kurangnya, dirinya masih
milik Izham, fikirnya.
………………………….
Sepasang mata Aiman membuntang
melihat Raihana yang sedang
berbaring di atas kerusi. Kepala yang
sedia pening, semakin sakit. Rasa
berpinar-pinar pandangannya ketika
ini. Perut pula sedang bersenandung
kelaparan. Hati tentulah panas bila
melihat isteri sedang enak dibuai
mimpi, di pagi hari seperti ini.
“Weh, bangun! Bangun! Pergi masak!
Aku lapar ni!”
Tubuh isteri digoyang dengan kasar
menyebabkan Raihana terjaga serta
merta. Perkataan masak itu buat nafas
Raihana sedikit sesak. Lelaki ini sudah
lupa barangkali? Bahawa, selama ini,
pendek kata, semenjak kematian
Izham dan Alif Munzir, Raihana tidak
pernah masuk ke dapur? Malah,
semua orang sudah berpesan berkali-
kali kepada lelaki yang seorang ini
tentang betapa fobia Raihana dengan
dapur. Sudah lupakah dia?
“Bangun! Tolong masakkan aku
maggi!!”
Menyirap darah hingga ke kepala.
Arahan yang kasar itu serta merta
membuat Raihana berang. “Dah gila?
Nak suruh orang masak pagi-pagi
bulan puasa ni? Ke dah tak reti nak
mengira? Sampai tak sedar yang
semua umat Islam sekarang dah 5
hari berpuasa Ramadhan? Abang
Aiman tak puasa, tapi janganlah nak
heret orang yang puasa masuk sama
ke dalam Neraka!”
Merasa tersindir, Aiman terus naik
hantu. Rambut Raihana ditarik dengan
kasar sehingga gadis itu dipaksa
duduk. Nafas busuk berbaur
minuman keras yang diteguk
semalaman hinggap ke hidung
Raihana, membuat wanita itu
kelemasan.
“Eeii, busuknya bau mulut! Abang
Aiman minum arak, ya? Ya Allah, apa
lagi kejahatan yang nak abang Aiman
buat ni? Sembahyang tidak! Malam-
malam berpeleser ke sana sini.
Minum arak macam minum air. Dah
tu, puasa pun tak buat. Abang Aiman
tak malu pada Allah ke?”
“Eh, perempuan gila, sebelum aku
lempang pipi kau, lebih baik kau
diam. Kau bangun sekarang! Bangun!
Pergi masuk ke dapur dan masak
untuk aku S.E.K.A.R.A.N.G.!! Pergi!!”
tubuh isteri ditolak menghala ke
dapur. Bukan dia tidak ingat pada
tegahan mummy dan emak
mentuanya. Tapi kerana sakit hati
yang bukan sedikit kepada Raihana,
dipaksanya wanita itu bergerak ke
dapur. Tidak dibenarkan langsung
Raihana berhenti melangkah.
“Abang Aiman, tolong jangan paksa
Sya! Tolonglah! Sya takut, abang
Aiman. Sya tak boleh!”
“Takut apa? Tak boleh apa? Sampai
bila kau nak lari daripada realiti hidup
kau, hah? Sampai bila tak boleh
tengok api? Sampai bila tak mahu
masak? Tidak! Hari ini, aku nak paksa
kau jugak! Jangan manjakan diri tu
sangat!”
“Tamo! Takut! Lepaslah! Sya nak balik
rumah mak! Sya tak nak duduk
dengan abang Aiman lagi! Abang
Aiman jahat!!”
“Aku memang jahat!”
Gigil tubuh Raihana semakin
menggila. Ketakutan menyebabkan
wajahnya menjadi pucat lesi. Saat itu
di hadapan matanya, bayangan
peristiwa setahun lalu menerpa. Saat
diri kembali dari kedai Pak Seman dan
jiran-jiran segera menangkap dirinya,
menghalang dia daripada masuk.
Namun sebaik pasukan bomba
selsesai memadamkan api, dia
meluru ke dalam, mencari-cari suami
dan anak yang disayangi. Suasana
sedih pilu akhirnya terjadi bila mayat
mereka ditemukan di tengah ruang
dapur. Sehingga kini, Raihana tidak
pernah dapat melupakannya.
Lutut terasa lemah. Hendak bergerak
pun sudah tidak mampu lagi namun
Aiman seakan tidak menyedari. Terus
sahaja menarik Raihana tanpa
mempedulikan titis air mata yang
gugur.
“Tengok ni!” Api dapur gas dipasang.
Raihana cuba mengalihkan
pandangan namun Aiman menahan.
Tangannya memegang kejap pipi
Raihana, memaksa wanita itu
merenung api yang menyala.
Meskipun degup jantung isteri yang
deras dapat dirasai, dia tetap tidak
mempedulikan. Tangan kirinya
kemudian mencapai periuk.
“Nah, letak atas api tu!”
Bila Raihana berdiri kaku, dia
meletakkannya sendiri. Kemudian,
sengaja dituangkan air. Bunyi berdesir
yang terhasil menyebabkan Raihana
tidak lagi mampu bertahan. Terus dia
berpusing, memaut tengkuk Aiman,
menyembamkan muka ke dada sasa
suaminya.
Aiman terpempan! Dia semakin hilang
punca bila Raihana terus longlai di
dalam dakapannya…….
……………………..
“Kamu memang! Degil! Keras kepala!
Nyaris tak mati Sya kamu buat!
Menyakitkan hati betul dapat anak
macam kamu ni! Kenapa bukan kamu
yang mati? Kenapa Izham yang baik tu
yang Allah ambil? Kenapa Allah tak
ambil nyawa kamu yang kejam ni?”
Semua orang yang berada dalam wad
kelas satu itu tergamam mendengar
ayat yang ditutur oleh Syarifah Azizah.
Syarifah Maizura terus mendekat,
menarik tangan besannya yang
sedang memukul dada anak lelaki
yang tinggal seorang itu. Mata
memandang Aiman, merenung wajah
yang kelihatan pucat dan lemah tidak
bermaya.
“Aiman, jangan ambil hati cakap
mummy tu. Dia tak maksudkannya.
Percayalah! Waktu sedang marah,
semuanya terlepas cakap, tapi nanti,
dia akan sesal sendiri.”
“Zu…”
“Kak Zah, jangan marah Aiman lagi.
Biarkan dia bertenang. Aswad, bawak
abang Aiman pergi duduk rehat di
taman hospital ni.”
Sebaik Aswad berjaya mengajak
Aiman keluar, Syarifah Azizah terus
menangis lagi…
“Hasan, Zu, maafkan kak Zah dengan
abang Iqbal. Ini semua salah kami.
Kalau kami tak paksa Aiman kahwin
dengan Sya, tentu Sya tak jadi macam
ni. Terlantar atas katil hospital dengan
degupan jantung yang perlahan.
Semua salah kami!”
“Tak ada siapa yang salah, kak Zah.
Takdir dah tersurat. Lagipun, doktor
cakap keadaan Sya baik saja. Tak ada
apa-apa yang hendak dirisaukan. Kita
berdoa mintak-mintak jodoh diorang
kuat, ya kak!”
“Kak Zah rela kalau Sya dah tak mahu
pada Aiman lagi, Zu. Tak sanggup nak
tengok keadaan Sya begini lagi. Kalau
itu nasib dan kesudahan mereka, kita
relakan aje, ya, Zu?”
……………………………
Gopoh-gopoh, Syed Aiman
mengemas beg pakaiannya. Dia sudah
tidak sanggup berlama-lama di Kuala
Lumpur. Dia sudah tidak sanggup
duduk di dalam rumah yang bagaikan
Neraka ini. Dia ingin pergi.
Menjauhkan diri daripada orang-
orang yang membenci dirinya.
Menyakitkan hati betul dapat anak
macam kamu ni! Kenapa bukan kamu
yang mati? Kenapa Izham yang baik tu
yang Allah ambil? Kenapa Allah tak
ambil nyawa kamu yang kejam ni?
Menitis air mata jantannya. Buat
pertama kali dalam hidupnya sebagai
seorang lelaki, Aiman menangis.
Betapa pedih jiwa yang tersingkir
daripada hati dan cinta ibu kandung
sendiri. Sejak dulu, dia tahu dia
hanyalah ‘second best’ namun
sumpah seranah mummynya
semalam benar-benar membuat
dirinya kecewa dan terluka.
Terduduk di atas sofa, wajah ditutup
dengan tangan sambil tubuh
terhinggut-hinggut bersama deras titis
air mata.
“Izham, betul apa yang kau cakap, dik.
Aku dah hilang semuanya. Kasih
sayang, kewarasan, kebaikan….
semuanya dah tak ada! Salah aku, dik!
Salah aku! Kau dah pesan pada aku
tapi aku tak dengar nasihat kau,
Bang, aku nak bagitau kau satu
perkara. Aku harap kau ingat
walaupun masa tu, aku dah mati.
Ingat bahawa bila kau jauh dari Dia,
bila kau lupa pada Dia, bila kau tak
pedulikan Dia, Dia pun jauh dari kau.
Tapi, sebaik pintu taubat untuk kau
terbuka, Dia paling dekat dengan kau,
bang. Sebab Allah itu wujud. Wujud
ertinya ada. Dia ada dan sentiasa
memerhati setiap apa yang kau buat,
bang. Dia ada dan Dia tahu apa yang
ada dalam hati kau. Percayalah cakap
aku, bang. Pergilah jauh dariNYA, kau
tak akan temui kebahagiaan,
ketenangan yang kau cari tu.
Selamanya tidak!
Dahlah aku tak bahagia, aku heret Sya
sama-sama dalam rasa kecewa aku
ni! Aku dera dia, Izham. Hanya kerana
aku cemburukan kau, dik! Aku
cemburu bila dia asyik memuji kau.
Orang semua sayang kau, Izham. Tapi
aku? Sejak dulu, aku selalu tewas!”
…………………….
“Comelnya anak mak ni. Sya, Sya nak
pergi mana? Ayu sungguh mak
tengok. Lama Sya tak pakai baju
kurung macam ni.”
“Kitorang nak pergi ziarah kubur
abang Izham, mak. Kak Sya rindu…”
Syarifah Wardah memberitahu bagi
pihak kakaknya.
Raihana mengucup tangan ibunya
sambil duduk di hadapan wanita itu.
“Semalam kan mak, Sya mimpi abang.
Dia senyum aje tengok muka Sya.”
“Abang? Izham?” duga si ibu.
Wajah Raihana berubah kelat.
Mengingati Aiman, dia dikejar rasa
bersalah. Fikirnya, kerana dia, Aiman
merajuk dan membawa diri
meninggalkannya. Tentulah lelaki itu
kecewa kerana kata-kata mummy
yang menyakitkan. Sudah dua tahun
pemergiannya. Tidak ada khabar
berita yang dikirim kecuali wang
nafkah setiap bulan. Bagi dirinya
sendiri, dia tidak pernah berniat untuk
menuntut fasakh. Itu bererti, seolah-
olah dirinya dan Aiman redha dengan
pernikahan mereka meskipun Aiman
sudah menjauh tanpa sepatah kata.
“Sewaktu hidup pun, Izham memang
sentiasa tersenyum.” Balas ibunya bila
wajah redup Raihana kelihatan
kosong. “Kenapa tak tunggu pagi raya,
Sya? Lusa? Boleh kita pergi sama-
sama.”
“Nanti raya, kita pergi sama-sama.
Hari ni, Sya pergi dengan Wardah.
Lepas ziarah pusara abang, Sya nak
pergi ke pasar. Nak beli lauk untuk
masak buka puasa nanti.”
Ada hikmah di sebalik setiap kejadian.
Sejak peristiwa yang berlaku dua
tahun dulu, Raihana sudah tidak lagi
takut untuk memasuki dapur malah
kini, dia sudah boleh memasak
semula. Syukur, alhamdulillah!
“Kita nak masak apa, kak Sya?”
Wajah Wardah ditatapi lembut. “Itu
nantilah kita fikirkan. Jom! Wardah
drive, ya. Kalau tidak, rugi aje ada
lesen tapi tak reti-reti bawak kereta.”
Usiknya membuat si adik mencubit
lengannya. Jeritan halus Raihana
mengundang senyum pada bibir
Syarifah Maizurah.
…………………..
“Sodaqhallahul’azim….”
Surah kecil Yaasin diraup ke wajah.
Lelaki yang memakai baju Melayu
warna ungu lembut itu membuka
songkok yang tersarung di kepala.
Rambut yang hitam lebat disisir
dengan jemari kasarnya. Bauk tanpa
misai menyerlahkan ketampanan dan
kematangan.
“Aku dah balik, Izham. Aku balik
sebagai seorang lelaki yang berjanji
untuk memikul amanah yang kau
berikan pada aku. Amanah untuk
menjadi insan yang mentaati Allah
dan Rasul. Amanah untuk menjadi
anak yang patuh pada kehendak
mummy dan daddy. Amanah untuk
menjadi seorang suami yang
berakhlak mulia, yang mampu
membimbing seorang isteri sebaik
isteri kita, Syarifah Raihana Syed
Hasan. Izham, hari ini, aku ingin
mintak izin dari kau untuk melepaskan
dia kepadaku. Aku tidak sebaik kau,
dik, tapi aku harap, dia dapat
menerima diri ini seadanya.”
Raihana terpaku di belakang Aiman.
Walau kedudukan mereka agak jauh,
dia dan Wardah dapat mendengar
kata-kata yang terluah dari bibir
Aiman itu. Ada air mata yang bakal
tumpah namun segera nafas disedut,
menghalang ia daripada mengalir.
Cukuplah! Raihana tidak mahu
menangis lagi. Terutama di pagi
Ramadhan yang hening dan dingin
ini. Cukuplah! Mengungkapkan
kesyukuran padaNYA, kerana, bila Dia
berkata,
“Jadilah! Maka Jadilah Ia!”
Tidak perlu berasa hairan pada
perubahan suaminya secara total.
Kerana tidak ada yang mustahil, yang
tidak mampu ALLAH laksanakan. Sikap
dan kelakuan, positif atau negatif, bila
DIA mengizinkan, pasti boleh
bertukar. Ke mana arah dituju, ke
mana haluan dicari, hanya DIA Maha
Mengetahui!!!
“InsyaALLAH, kalau abang Aiman sudi,
Sya juga sudi.”
Aiman segera berpaling untuk
menatap wajah yang sengaja dibuang
jauh selama dua tahun ini. Raut wajah
yang tidak mampu dilupakan. Rasa
terbebat rindu demi melihat
senyuman yang terukir pada bibir.
Buat pertama kali, senyum itu terukir
khas untuknya. Hanya untuk dirinya!
“Eh hmm…. abang Aiman, kak Sya,
kita ni kat tanah perkuburan. Boleh tak
kalau both of you main mata nanti-
nanti. Kat sini seramlah…!” Wardah
tidak melapik kata, menyebabkan pipi
kedua-dua suami isteri itu merona
merah, menahan malu.
“Abang Aiman, izinkan Sya baca Yasin
sekejap?”
Aiman mengangguk sambil
mempelawa isterinya duduk di sisinya.
Dengan penuh tawadduk, Raihana
membaca. Aiman tunduk, menghayati
bacaan yang berkumandang.
Sebaik selesai, tangan isteri
digenggam erat. Raihana membiarkan
sahaja. Mendengar apakah lagi
bisikan suaminya untuk yang telah
tiada.
“Izham, abang tak tahu bila abang
jatuh cinta pada Sya, tapi, jarak dan
waktu mengajar abang erti rindu ini.
InsyaALLAH, abang sudah bersedia
untuk menggalas tanggungjawab
sebagai suaminya. Sya adalah
amanah kita bersama. Abang akan
cuba membahagiakan dirinya tanpa
ada sedikit niatpun untuk menandingi
dirimu, adikku.
Izham, semoga kisah silamnya yang
manis dengan kau, dik, mampu
menghidupkan hari-hari mendatang
untuk kami berdua. Abang janji, demi
Allah, abang tidak akan membenarkan
Sya melupakanmu, adikku. Tapi,
abang harap, dia dapat memberi
abang sedikit ruang untuk abang
dalam diri dan kehidupannya nanti.”
Sepasang mata berkaca menatap
wajah isteri yang basah, “Syarifah
Raihana, jangan menangis lagi. Abang
balik bukan nak tengok Sya menangis.
Tapi, nak buat Sya tersenyum,
mungkin juga ketawa. Abang berjanji
yang abang tidak akan ulangi semua
perbuatan kejam abang dulu.
Percayalah, Aiman itu sudah tak ada
lagi!”
……………………….
“Laa, tidur balik dia ni… Kata nak
qiamullail sampai waktu sahur. Baru
dua jam dah tak tahan!” suami yang
sedang meniarap di atas katil
dihampiri. “Abang Aiman, bangunlah!
Mummy, daddy, semua orang sedang
tunggu kita kat bawah tu. Abang
Aiman… eeii, lepaslah!”
Diri yang sudah terbaring dan berada
dalam dakapan suami bukan saja
tidak dilepaskan malah semakin
dibelai manja. Keinginan untuk
bermesra tidak mampu ditolak.
“Tapi, nanti apa kata semua orang?”
soalnya dalam nafas yang
mencungap.
Aiman ketawa. “Diorang faham,
sayang. Tentu diorang faham.”
Hanya senyuman menghiasi bibir.
Senyuman bahagia dalam rasa ingin
bermesra.
…………………….
Di meja makan, semua orang sedang
laju menikmati hidangan di dinihari
terakhir Ramadhan. Riuh rendah
tanpa mengendahkan ketiadaan
pasangan pengantin lama yang baru.
“Mak, dah dekat pukul lima ni. Kenapa
kak Sya dengan abang Aiman tak
turun-turun lagi tu? Tahulah waktu
sahur elok kalau dilewatkan tapi…….”
“Kamu budak kecik, apa tahu? Dah!
Pergi ulangkaji pelajaran tu. SPM tak
lama lagi dah ni.” Syarifah Maizurah
berdalih sambil melirik senyum pada
besannya.
Aswad terus terdiam. Dengan tertib
dia meminta izin untuk masuk ke
biliknya.
“Alhamdulillah, besar sungguh nikmat
Allah, Zu. Akhirnya impian kak Zah
dimakbulkan. Hai, kalaulah dikenang-
kenang sikap Aiman dulu….”
“Biarkan saja yang dah lepas-lepas tu,
kak. Zu pun bersyukur sangat. Sejak
peristiwa dulu tu, Sya terus berubah.
Tak lagi menung-menung dan
meracau teringatkan Izham.
Alhamdulillah, kasih sayang Aiman
berjaya mengembalikan Sya yang
ceria pada kita semua.”
………………………………
“Abang Aiman,”
“Cop! Sya, kenapa Sya mesti panggil
abang macam tu, sayang? Tiap kali
sayang panggil abang, mesti sayang
sebut, abang Aiman… Kenapa?”
Raihana ketawa kecil, “Abang Aiman
ni! Macam tak puas hati jek! Sya
panggil nama penuh abang, kan?
Abang Aiman. Salah ke?”
“Tak romantis lah, yang….”
“Pulak…”
“Panggil abang aje, sayang. Jangan
risau! Abang tahu Sya tak mahu
abang fikir yang Sya panggil Izham,
kan? Sebab tu asyik, abang Aiman,
abang Aiman. Tapi, abang mahu
dengar sayang panggil abang, abang.
Ikhlas dari hati ni.”
Raihana tersenyum puas. Pengertian
suami keduanya ini sangat-sangat
dihargai. Dalam hati dia berjanji untuk
membahagikan Aiman. Kerana kini,
Aiman keutamaannya. Kerana kini,
Aiman kekasihnya. Kerana kini, Aiman
suami kesayangannya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar